Soalan:
Apakah pandangan Islam mengenai orang Islam yang menyimpan patung-patung permainan atau gambar- gambar bernyawa
Jawapan:
Mengenai menyimpan gambar bernyawa di dalam rumah dalam sebuah hadith disebutkan. Daripada Aisyah ra. menceritakan bahawa pernah ia membeli sebuah bantal yang bersulamkan gambar (makhluk hidup), sewaktu Rasulullah SAW melihatnya baginda berdiri di pintu (tidak mahu masuk ke dalam rumah) dan wajah baginda berubah (menandakan kurang senang).
Melihat wajah Rasulullah SAW berubah, Aisyah bertanya: "Apakah dosaku ya Rasulullah, beritahulah kepadaku, sekarang juga aku akan bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya". Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada Aisyah: "Bantal apa ini ya Aisyah?" Aisyah menjawab: "Aku belikan untuk baginda tidur atau duduk di atasnya". Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang membuat gambar ini kelak akan diseksa di hari kiamat dan diperintahkan supaya dihidupkannya (diberi roh). Sesungguhnya rumah yang ada gambar, malaikat tidak masuk ke dalamnya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mengenai patung permainan dalam sebuah hadis diterangkan; Aisyah berkata: "Suatu ketika sedang kami (Aisyah bersama kawan wanitanya) bermain-main dengan anak patung, Rasulullah SAW masuk ke dalam rumah, kawan-kawanku lantaran merasa segan dengan baginda merekapun menyembunyikan diri. Melihat sikap kawan-kawanku itu, maka Rasulullah SAW pun menyuruh mereka keluar daripada tempat persembunyian dan bermain kembali". (Riwayat Bukhari)
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Nasa'i pula Aisyah menceritakan bahawa ketika ia melihat Rasulullah SAW baru pulang daripada peperangan (Tabuk dan Khaibar), ketika itu ia sedang bermain dengan patung-patung mainan. Ia juga segera menutup anak patung itu dengan kain. Tiba-tiba Rasulullah menyingkapnya dan bertanya: "Apa ini ya Aisyah ?' Aisyah menjawab: "Anak-anak saya (mainan saya). Patung mainan itu adalah gambar kuda bersayap". Rasulullah SAW bertanya lagi: "Kuda bersayap?" Aisyah menjawab: "Apakah baginda tidak pernah mendengar bahawa nabi Sulaiman as. mempunyai kuda bersayap?" Mendengar jawapan itu Rasulullah SAW ketawa.
Banyak lagi hadith-hadith yang menjelaskan tentang gambar bernyawa dan patung-patung untuk mainan ini, namun disini dapat disimpulkan diantara sebab gambar itu dilarang atau diharamkan, kerana menyerupai ciptaan Allah dan pembuatnya dituntut memberi roh atau nyawa serta di akhirat di azab di dalam neraka, yang menyerupai patung berhala, malaikat benci dan tidak masuk ke dalam rumah yang ada gambar, gambar yang sempurna rupanya (berlembaga), diletakkan di tempat yang hormat dan tujuan menghormati dan untuk dijadikan kenangan dan dihormati.
Sedangkan gambar-gambar yang diharuskan antara lain; gambar pemandangan makhluk yang tidak bernyawa, gambar yang tidak sempurna sifat dan tidak berlembaga dan tanpa niat menghormatinya, tidak dihormati, bertujuan pendidikan, gambar mainan kanak-kanak.
Disini kami sertakan juga pandangan beberapa ahli. Diantaranya Imam Nawawi berpendapat; "Adapun gambar yang digantung pada dinding atau gambar pada kain, pakaian seperti serban, baju dan sebagainya yang dikira benda yang tidak dilasak atau dihormati, sekiranya gambar itu makhluk bernyawa dan sempurna bentuk rupanya, mempunyai bayang seperti lembaga patung atau tidak berbayang seperti yang dilukis di kain, dinding dan lain-lain, semuanya di hukum haram. Kecuali sekiranya gambar makhluk bernyawa itu didapati terletak atau terlukis atau terukir pada pada tempat yang tidak dihormati, seperti di lantai, di tikar, di tempat duduk atau tempat pijak, dibantal atau tilam dan lain-lain tempat yang seumpamanya, maka tidaklah dihukum haram."
Menurut Ibnu Arabi; segala gambar yang mempunyai bayang (berlembaga) ijmak ulama telah mengharamkannya. Dilarang atau haram hukumnya sekiranya gambar itu berbentuk sempurna, tetapi kalau terpotong kepala atau terpisah anggotanya hukumnya harus atau boleh. Harus hukumnya jika tanpa maksud menghormati dan mengagung-agungkannya yakni tidak digantung di dinding. Kalau di gantung di dinding hukumnya haram, kerana menunjukkan maksud menghormati dan mengagungkannya. Ibnu Arabi juga menyebut bahawa telah ijmak ulamak mengharamkan gambar patung-patung, tetapi jumhur ulamak mengharuskan (membolehkan) patung-patung mainan kanak-kanak".
No comments:
Post a Comment